Wednesday, June 12, 2013

Hari Tidak Diperbolehkan Berpuasa Sunnah

Menurut hukum Islam, ada beberapa hari yang tertentu, yang dilarang mengerjakan puasa padanya, seperti berikut:
Puasa Pada Kedua-dua Hari Raya
Alim ulama' rahimahumullah., telah ijma' (sekata) tentang haramnya berpuasa pada kedua-dua hari raya iaitu hari raya "Aidilfitri" dan hari raya "Aidiladha" - sama ada puasa wajib atau puasa sunat.
Dalilnya ialah hadith yang berikut: 
35- عَنْ أَبِي عُبَيْدٍ قَالَ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ هَذَانِ يَوْمَانِ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صِيَامِهِمَا يَوْمُ فِطْرِكُمْ مِنْ صِيَامِكُمْ وَالْيَوْمُ الْآخَرُ تَأْكُلُونَ فِيهِ مِنْ نُسُكِكُمْ. (رواه البخاري)

35- Dari Abu `Ubayd, katanya: Aku telah hadir merayakan hari raya bersama-sama dengan Saiyidina `Umar bin al-Khattab r.a., lalu ia berkata:  "Hari raya ini dan hari raya yang satu lagi, Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa padanya, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan hari raya Aidiladha untuk kamu makan dari daging korban kamu."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
_____________________________________________________________________________
1. Fath al-Bari (5:142).


Ditegaskan lagi dalam sebuah hadith yang antara lain seperti berikut:
 
36- أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْفِطْرِ وَيَوْمِ النَّحْرِ. (رواه مسلم)

36- " .. Bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa pada dua hari, iaitu: "Hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadith sahih yang lain, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, rahimahumallah., dari Ibn `Umar r.a., bahawa seorang lelaki telah datang bertanya kepada Ibn `Umar, katanya:
"Saya telah bernazar untuk berpuasa sehari, kebetulan hari itu jatuhnya pada hari raya puasa atau pada hari raya haji,  (bagaimana hukumnya)?"
Ibu `Umar menjawab: 
أَمَرَ اللهُ بِوَفَاءِ النَّذَرِ وَنَهَي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ هَذَا الْيَوْمِ.
"Allah Taala telah perintahkan supaya (orang yang bernazar) menyempurnakan nazarnya dan Rasulullah s.a.w. pula telah melarang (umatnya) daripada berpuasa pada hari yang tersebut."(2)
_____________________________________________________________________________
1. Ittihaf Ahl al-Islam (250).
2. Kitab yang sama (251).




Puasa Pada Hari-hari Tasyriq
Hari-hari tasyriq (أيام التشريق) ialah tiga hari yang mengiringi hari raya haji iaitu hari yang kesebelas, kedua belas dan ketiga belas.
Dalam masa inilah orang-orang yang mengerjakan ibadat haji - berhimpun di "Mina".
Larangan berpuasa pada ketiga-tiga hari yang tersebut ada diterangkan dalam hadith yang berikut:

37- عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أُنَادِيَ أَيَّامَ مِنًى إِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ فَلَا صَوْمَ فِيهَا يَعْنِي أَيَّامَ التَّشْرِيقِ. (رواه الإمام أحمد)

37- Dari Sa'ad bin Abi Waqas r.a., katanya: "Aku telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. supaya menyeru semasa (orang ramai sedang berhimpun) di "Mina" bahawa masa yang tersebut ialah khusus (untuk kamu) menikmati makan minum (dengan gembira) dan tidak di tuntut berpuasa padanya, yakni hari-hari tasyriq yang termaklum."(1)
(Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad)
_____________________________________________________________________________
1. Nail al-Autar (4:277).

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:


38- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ حُذَافَةَ يَطُوفُ فِي مِنًى أَنْ لَا تَصُومُوا هَذِهِ الْأَيَّامَ فَإِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. (رواه الإمام أحمد)

38- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abdullah bin Huzafah menyeru di merata-rata tempat, di "Mina", katanya: "Janganlah kamu berpuasa pada (ketiga-tiga) hari tasyriq ini, kerana ditentukan untuk kamu menikmati makan minum (dengan gembira) dan untuk kamu mengingati Allah Azza wa Jalla (dengan takbir dan tahmid)".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
Larangan yang tersebut adalah larangan haram.
_____________________________________________________________________________
1. Al-Fath al-Rabbani (10:144), hadith ini 'sanad'nya jayyid (elok).



Puasa "Hari Syak":
Hari "syak" juga dilarang berpuasa padanya. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


39- عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (رواه أبو داود والترمذي)

39- Dari `Amar bin Yasir r.a., katanya: "Barangsiapa berpuasa pada hari yang diragukan maka sesungguhnya ia telah menderhaka kepada (Rasul Allah) Aba al-Qasim s.a.w."(1)
(Hadith Hasan Sahih - Riwayat  Abu Daud dan Tirmizi)

"Hari syak" atau "hari yang diragukan" yang tersebut ialah hari yang ketiga puluh dan bulan Sya'ban yang tidak diketahui dengan jelas sama ada ia dan bulan Ramadhan atau dari bulan Sya'ban, kerana rukyah mengenainya (yang diperkatakan orang pada 29 Sya'ban) tidak sabit atau saksi yang melihatnya tidak diterima pengakuannya oleh pihak yang berkuasa disebabkan fasiknya dan sebagainya. Larangan yang tersebut haram hukumnya dan tidak sah puasanya.(2) Dalam pada itu ada pengecualian, iaitu kalau seorang pada hari itu mengerjakan puasa qadha atau puasa nazar,  maka yang demikian tidak dilarang.

Demikian juga kalau ia biasa mengerjakan puasa sunat yang tertentu seperti "puasa hari Isnin" dan kebetulan jatuhnya pada "hari syak" yang tersebut maka itu tidak dilarang. Yang dilarang ialah mengerjakan puasa yang tidak bersebab atau "Hari syak" itu diniatkan dari bulan Ramadhan. 
_____________________________________________________________________________
1. Riyad al-Salihin (447) dan `Ibanat al-Ahkam (1:368) "Aba al-Qasim" (Bapa kepada al-Qasim) yang tersebut dalam hadith ini ialah gelaran Rasulullah s.a.w., kerana salah seorang dari putera-putera Baginda bernama "al-Qasim".
2. Sabil Al-Muhtadin (2:142).




Puasa hari Jumaat
Dilarang juga berpuasa (puasa sunat) pada hari Jumaat jika tidak disertakan dengan berpuasa sehari sebelumnya iaitu hari Khamis atau sehari selepasnya, iaitu hari Sabtu.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

40- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ يَوْمُ عِيدٍ فَلَا تَجْعَلُوا يَوْمَ عِيدِكُمْ يَوْمَ صِيَامِكُمْ إِلَّا أَنْ تَصُومُوا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ. (رواه الإمام أحمد)

40- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebenarnya hari Jumaat ialah hari raya (mingguan), maka janganlah kamu jadikan hari raya kamu itu hari puasa kamu, kecuali kalau kamu berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."(1)
(Riwayat Imam Ahmad)
Larangan yang tersebut ialah larangan makruh. 
Di dalam hadith ini diterangkan dengan jelas sebab larangan itu:
Bahawa hari Jumaat ialah hari raya mingguan dan lazimnya tidak dituntut berpuasa pada hari yang dimuliakan sebagai hari raya.
_____________________________________________________________________________
1. Al-Fath al-Rabbani (10:148). Hadith ini disahihkan oleh al-Hakim. 


Puasa hari Sabtu
Makruh juga hukumnya berpuasa (puasa sunat) pada hari Sabtu jika tidak disertakan dengan berpuasa pada hari Ahad.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya, maksudnya: "Janganlah kamu berpuasa pada hari Sabtu, kecuali puasa yang diwajibkan atas kamu .." (1)
Yakni kecuali puasa qadha dan puasa nazar.  (Demikian juga halnya puasa sunat yang biasa dilakukan dan secara kebetulan jatuhnya pada hari Sabtu, maka ia juga dikecualikan dan larangan itu).(2)
_____________________________________________________________________________
1. Fiqh al-Sunnah (1:446), hadith ini Hadith Hasan, menurut Imam Tirmizi.
2. Kitab yang sama (1:446).


Hukum Isteri Mengerjakan Puasa Sunat Dengan Ketiadaan Izin Suami
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


41- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ. (رواه البخاري ومسلم)

41- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak halal bagi seseorang perempuan mengerjakan puasa sunat sedang suaminya ada bersama melainkan dengan izinnya".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menjadi dalil bahawa haram atas isteri mengerjakan puasa sunat melainkan dengan izin suaminya, kecuali kalau suaminya tidak ada bersama - kerana pergi keluar negeri maka ia boleh mengerjakan puasa sunat dan tidak memerlukan izin suaminya.
Jelasnya hak suami adalah satu perkara yang wajib dan tidak boleh dicuaikan kerana melakukan suatu yang sunat. 
_____________________________________________________________________________
1. Al-Fath al-Rabbani (10:66). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya.


Hak Isteri Terhadap Suaminya
Suami pula bertanggungjawab menyempurnakan hak isterinya dan dilarang mengerjakan puasa sunat yang berlebihan yang akan menyebabkan dia mencuaikan hak isterinya.
Masalah ini diterangkan dalam sebuah Hadith Sahih riwayat Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. mendapat tahu perihal seorang sahabat Baginda iaitu Abdullah bin `Amru r.a., mengerjakan "puasa sunat" pada tiap-tiap hari sepanjang masa dan ia pula berjaga malam mengerjakan "sembahyang sunat".
Setelah Baginda bertanya, Abdullah mengaku,  lalu Baginda melarangnya berbuat demikian dan menegaskan lagi, sabdanya:

42- صُمْ وَأَفْطِرْ وَقُمْ وَنَمْ فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا. (رواه البخاري)

42- "Berpuasalah engkau (pada hari-hari yang tertentu) dan berbukalah (pada hari-hari yang lain), demikian juga kerjakanlah sembahyang sunat (pada sebahagian malam) dan tidurlah (pada sebahagian lagi), kerana sesungguhnya tubuhmu ada haknya yang wajib engkau tunaikan, matamu ada hak yang wajib engkau tunaikan, isterimu ada haknya yang wajib engkau tunaikan dan tetamumu juga ada haknya yang wajib engkau tunaikan .."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Dalam hadith ini Baginda mengingatkan umatnya supaya sentiasa menggunakan cara yang sederhana dalam segala hal dan dalam masa kita mengerjakan amalan yang sunat,  jangan pula kita melupakan perkara yang wajib. 
_____________________________________________________________________________
1. Riwayat Bukhari dari Abdullah bin `Amru r.a., Fath al-Bari (5:121).

No comments:

Post a Comment